Hari ini penuh bermakna bagi pelakon dan pelawak, Shuib yang juga anggota kumpulan Sepah melalui detik-detik bahagia untuk mengakhiri zaman bujangnya.
Bakal diijabkabulkan dengan penyanyi popular, Sarah Raissudin yang juga tunangnya di Hotel Jeumpa D'ramo, Bukit Bangsar pada hari ini, Shuib memberitahu bahawa segala persiapan untuk majlis pernikahannya kini telah pun berjalan seperti apa yang diharapkan.
"Alhamdulilah, semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun kami masing-masing sibuk bekerja, namun ia masih tak menghalang kami untuk membuat serba-sedikit persiapan untuk melangsungkan pernikahan kami ini.
"Namun, tentang soal pemilihan tema majlis pernikahan serta perkahwinan dan sebagainya, saya banyak serahkan perkara ini kepada Sarah untuk membuat keputusan kerana dia lebih mahir dalam bab-bab yang sebegini. Apa yang saya tahu tema penikahan kami nanti akan menggabungkan konsep Inggeris dan Melayu.
"Setakat ini semua persiapan sudah pun hampir lengkap. Yang perlu saya perlengkapkan sekarang ini adalah persediaan diri saya untuk melangkah ke alam perkahwinan. Bukan senang untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan saya perlu bersedia dari sekarang," katanya lagi.
Lebih selesa merahsiakan jumlah wang hantaran yang bakal diserahkan kepada Sarah kelak, Shuib bagaimanapun memberitahu, pihaknya akan menyerahkan 5 dulang hantaran kepada pihak keluarga Sarah.
"Tentang jumlah wang hantaran, rasanya tak perlulah saya beritahu kerana ianya sangat personal. Cukuplah dengan sikap terbukaan saya selama ini," tambahnya lagi
Memilih untuk mengenakan busana rekaan Hatta Dolmat dan Deq Sha pada hari berbahagia tersebut, Shuib memberitahu, dia dan bakal isterinya itu akan berpindah dan duduk bersama di rumah baru mereka di Puchong, Selangor.
"Insya Allah, jika tiada aral melintang, kami akan berpindah di rumah yang baru selepas nikah nanti. Saya mahu kami mulakan hidup yang baru dalam suasana yang juga baru. Sebab, saya sendiri pun belum pernah tinggal di rumah itu. Lagipun, saya memang sediakan rumah itu khas untuk bakal isteri saya," jelasnya.
Menjalinkan hubungan cinta selama lebih satu tahun, Shuib mengakui Sarah seorang yang sangat disenangi oleh keluarganya sejak mereka dipertemukan.
"Keluarga saya sangat sukakan Sarah. Kami juga tidak pernah ada masalah dengan keluarga masing-masing. Itu yang membuatkan saya senang hati. Malah sikapnya yang pandai ambil hati orang tua, telah membuatkan hubungan dia dan keluarga saya sangat akrab.
"Saya juga sukakan Sarah kerana sikap manja yang ada padanya itu. Selain itu saya juga sukakan masakannya. Dia memang seorang yang pandai memasak," kata Shuib yang sudah merancang untuk berbulan madu ke Pulau Perhentian bersama Sarah nanti
No comments:
Post a Comment