Ketika itu konsert sedang rancak berlangsung, para penonton bagaikan dilanda histeria apabila terkinja-kinja kegembiraan sambil memanggil-manggil nama kami. Tetapi tiba-tiba saya terpanah, lidah saya kaku untuk mengalunkan lagu yang sedang dipersembahkan. Di hadapan saya terbayang satu pemandangan yang amat menakutkan... seperti gambaran seksaan di Padang Mahsyar!”
Imbasan imej dahsyat yang disaksikannya itu seolah-olah suatu paparan di skrin layar putih. Walaupun ia hadir untuk beberapa saat sahaja, tetapi Mohd. Radzi berasa pasti, paparan itu merupakan suatu isyarat yang tidak boleh diambil ringan. Itulah isyarat yang membawa dirinya kembali kepada acuan asal dirinya yang pernah mendapat pendidikan pondok hinggalah hari ini. Itulah pengalaman yang pernah dilalui Mohd. Radzi Abdul Hamid, atau lebih dikenali sebagai Radzi, 45, yang pernah menggegarkan arena muzik Rock pada tahun 1990-an apabila muncul hersama-sama kumpulannya, Melissa.
Walaupun wajah penyanyinya kini jarang muncul, namun alunan lagu hit Melissa iaitu Cinta Untuk Nabila masih lagi ke udara apabila dimainkan oleh stesen-stesen radio tempatan. Melodinya tetap relevan dengan selera para pendengar hari ini hinggakan mampu mengimbau kenangan era Rock Kapak yang pernah menjadi kegilaan orang muda suatu masa dulu. Radzi yang ditemui di ibu kota baru-baru ini, tidak keberatan untuk menceritakan tentang perjalanan rohaninya buat tatapan umum. Bukan bermaksud untuk membuka pengalaman yang sebahagiannya sesuatu yang ingin dilupakannya, tetapi inilah peluang baginya yang kini aktif sebagai pendakwah, untuk berkongsi cerita agar perkara yang baik dijadikan ikutan, manakala yang buruk seeloknya dikisahkan sebagai pengajaran.
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk terjun ke dalam dunia hiburan. Ini kerana memandangkan latar belakang saya yang sudah didedahkan dengan pengajian pondok semenjak remaja lagi. Tetapi inilah perjalanan hidup yang tidak disangka membawa saya mengenali dunia glamor itu.
“Kisahnya bermula pada tahun 1982 apabila saya berhijrah dari Kedah untuk merantau ke Kuala Lumpur. Bandaraya yang menjanjikan seribu macam peluang ini saya lihat sebagai ‘lubuk’ yang membolehkan saya mencari rezeki halal lalu memilih Kampung Pandan sebagai tempat untuk tinggal,” katanya memulakan bicara.
Pada waktu itu, dia amat bercita-cita mahu menjalankan perniagaan menjual ayam. Sebagai langkah awal untuk mengumpul modal, Radzi bekerja di kilang dan kemudian mencuba nasib sebagai konduktor bas mini.
“Ketika menjadi konduktor bas, saya amat dikenali kerana imej rock yang saya tonjolkan ketika itu. Ramai juga yang meminati saya lebih-lebih lagi gadis-gadis yang selalu menggunakan khidmat bas mini yang saya kendalikan,” selanya lagi sambil tersenyum.
Sepanjang keberadaannya di Kampung Pandan, Radzi bergaul dengan pelbagai golongan termasuklah “kutu-kutu” jalanan dan pemuda-pemuda tempatan yang mempunyai ibu bapa berasal dari Indonesia. Tetapi dia tidak pernah memandang rendah golongan tersebut yang selalu dilabel kelas kedua dalam masyarakat. Tak kenal maka tak cinta, Radzi mendapati sesetengah dari mereka masih mempunyai akhlak yang baik walaupun memilih gaya hidup sedemikian. Dia menambah, semangat kejiranan di antara para penduduk di sana amat bagus sekali lebih-lebih lagi mereka sering menghadiri majlis keagamaan. Apabila ditanyakan tentang bakat nyanyiannya, Radzi merujuk kembali kepada saat-saat dia dan kawan-kawan membantu penduduk setempat bergilir-gilir bertugas Rukun Tetangga.
“Ketika saya dan kawan-kawan bertugas, kebiasaannya kami bertemankan gitar tong sebagai alat untuk berhibur sambil mengalunkan lagu-lagu nyanyian Alleycats. Tak sangka pula bakat saya diperkatakan orang hinggalah saya menerima undangan untuk menyanyi di majlis-majlis orang kahwin,” cerita Radzi.
Bermula dari situ Radzi giat mengembangkan bakat nyanyiannya apabila dia mula mencuba nasib menyanyi dikelab malam pula. Bernaung di bawah kumpulan pertamanya, Ra’un, Radzi dan rakan-rakan seperjuangannya bersama-sama bermain muzik untuk tempoh setahun. Pada tahun 1988, Radzi beralih arah apabila memilih kumpulan baru yang bernama Steeler. Bersama rakan-rakan baru, Radzi pun mencuba nasib menyertai pertandingan kumpulan rock yang telah dianjurkan oleh Box-Office kepunyaan Ali Bakar pada tahun yang sama.
Pertandingan ini dianggap berprestij pada waktu itu apabila ramai nama-nama terkenal berjaya dibentuk daripadanya. Mungkin nasib menyebelahi mereka, Steeler telah berjaya menduduki tempat ketiga dengan dendangan lagu Senja Merah yang diumpamakan sebagai faktor tuah kemenangan anak-anak muda ini.
Selepas kumpulan Steeler membawa haluan masing-masing, Radzi telah menganggotai kumpulan Wetsped yang terdiri dari Omar (gitar utama), Nen (dram), dan Man Kaus (gotas bass). Perjalanan hidup Radzi sekali lagi berubah apabila ditawarkan menyertai kumpulan Melissa untuk membuat album pertama mereka sebagai artis rakaman yang sebenar. Razak yang merupakan pemain gitas bass dalam kumpulan Steeler (menggantikan Ajib, anggota asal Steeler yang sudha menyertai Melissa), bertindak menjemput Radzi menyertai mereka.Pucuk dicita ulam mendatang, Radzi telah ditawarkan menjadi vokalis utama Melissa apabila penyanyi asalnya, Haiti mengundurkan diri dari kumpulan itu.
“Saya masih ingat lagi barisan rakan pemuzik yang melengkapi Melissa iaitu Kefli (gitar utama), Ozei (drum) dan tentunya Razak yang bertindak sebagai pemain gitar bass,” ujarnya yang tidak menduga sama sekali kehadiran Melissa akan diterima ramai apabila muncul dengan album sulung mereka.
Tambahnya lagi, lagu ‘berhantu’ mereka, Cinta Untuk Nabila telah berjaya melonjakkan nama Melissa sehinggakan populariti mereka sebaris dengan namanama kumpulan senior yang sudah sedia popular seperti Search dan Wings. Gelombang glamor benar-benar mengubah kehidupan anak kelahiran utara ini lebih-lebih lagi apabila menerima royalti pertamanya yang berjumlah RM 16,000 pada tahun 1990 hasil dari jualan album pertama.
“Memang lumayan sebab saya pun tak pernah terima duit sebanyak itu sekaligus daripada syarikat rakaman iaitu Varia Music Production. Tetapi percayakah jika saya katakan, itulah royalti pertama dan terakhir yang saya terima,” katanya.
Album kedua mereka, Kami Mat Rock menampilkan satu lagi lagu hits yang bertajuk Memikat Cahaya pada tahun 1991. Walaupun lagu tersebut berjaya menaikkan kumpulan Melissa, Radzi mengatakan dia tidak lagi menerima royalti seperti mana sebelumnya. Radzi berfikiran perkara itu berlaku mungkin kerana jadual album ketiga Melissa berjudul Mistik pada tahun 1993 tergendala. Akhirnya rakaman album berkenaan terpaksa dibatalkan.
“Pembatalan rakaman itu merupakan salah satu sebab untuk saya berundur dari dunia artis. Sebenarnya pada masa yang sama, saya mengalami dilema tersendiri yang membuatkan saya bertekad untuk ‘menghilangkan’ diri secara total.
Saya mengalami konflik dalaman yang agak teruk ketika Melissa sedang berada di puncak. Mungkin kerana latar belakang agama saya yang masih mengental, membuatkan saya sukar untuk beradaptasi dengan gaya hidup sebagai rocker yang agak bertentangan nilai-nilainya Muzik Rock pada ketika itu banyak dikaitkan dengan elemen negatif seperti dadah dan arak. Namun alhamdulillah, setiap anggota Melissa masih mampu menjaga imej bersih masing-masing.
Satu demi satu isyarat dari Tuhan saya terima supaya memikirkan kembali jalan hidup yang saya sedang lalui. Hinggalah kepada isyarat paling jelas yang saya pernah saksikan ketika sedang beraksi dalam suatu konsert. Walaupun hanya sebentar, tapi saya terlalu takut untuk mengingat kembali bayangan ngeri yang saya lihat itu,” katanya yang akur dengan kehendak Allah yang mahukan. Dia berundur terus dari dunia artis.
Radzi memilih untuk pulang ke kampung di Alor Setar, Kedah untuk memulakan hidup baru lalu berkahwin dengan wanita yang paling setia menemaninya, Zaimah Mokhtar, 36, pada tahun 1992 lalu di kampung asal isterinya iaitu di Semenyih, Selangor.
Pada mulanya pasangan ini memilih Kg. Pandan sebagai tempat bermastautin. Tetapi setelah lebih kurang enam bulan, mereka membuat keputusan untuk kembali ke kampung asalnya iaitu di Jitra, Kedah. Bekas penyanyi Rock ini lalu meneruskan pengajian agama di Maahad Tarbiah Islamiah, Behrang, Pokok Sena, Kedah dan sempat menimba ilmu beberapa bulan di Pakistan.
Pasangan itu amat bahagia hari ini dengan ditemani enam orang cahaya mata iaitu Mohamad Firdaus, 16, Mohamad Naim, 14, Mohamad Addin, 12, Sid Nur Soleha, 11, Mohamad Maqamin, 9, dan Nur Nabila Saqinah, 2. Mereka sekeluarga kini menetap di Taman Perumahan Alor Senjaya, Kedah.
Perkembangan paling terbaru, pada tahun 1994, Radzi telah dilantik sebagai Pembantu Hal Ehwal di bahagian perpustakaan dan pembantu imam di Jabatan Agama Islam, Kedah. Walaupun dia pernah menghilang daripada persada seni tanah air, itu bukan bermaksud Radzi akan berundur buat selama-lamanya. Seni nampaknya sudah menyatu di dalam dirinya menjadi pendorong untuk mantan “rocker” ini membuat penampilan semula.
“Tetapi yang pasti matlamat kali bukanlah seperti di waktu awal saya mula-mula menceburi dunia seni ketika muda-muda dulu.
Radzi muncul semula ke dalam dunia rakaman seni suara apabila tampil dengan projek terbaru menghasilkan album bertajuk Penyesalan yang diterbitkan oleh Aztecs Production Sdn. Bhd. Album yang mengandungi lima buah lagu-lagu berunsur dakwah ini diharapkan oleh Radzi agar menjadi sebuah jambatan yang menyambungkan dakwah dengan dunia seni.
Salam. Saya wartawan hiburan media BRUNEI.Saya nak minta izin ambil petikkan rencana ini untuk di siarkan dlm akhbar Brunei. Terima kasih
ReplyDelete